FAMA Mahu Pasarkan KopieSatu ke China, Vietnam, Indonesia


FAMA Mahu Pasarkan KopieSatu ke China, Vietnam, Indonesia

KUALA LUMPUR 9 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang mengintai peluang untuk membawa jenama francais tempatan, KopieSatu menembusi pasaran China, Vietnam dan Indonesia menjelang tahun depan.

Tan Sri Badruddin Amiruldin
Tan Sri Badruddin Amiruldin

Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan oleh anak syarikatnya, FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACO) kerana percaya hubungan perniagaan yang telah lama terjalin antara ketiga-tiga negara tersebut dengan Malaysia dan jumlah penduduk di China.

Katanya, beliau juga yakin francais KopieSatu akan dikenali seperti jenama antarabangsa lain selepas menyaksikan keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir tahun lalu sebanyak RM2.8 juta.

“Berikutan pencapaian memberangsangkan itu FAMA menyasarkan keuntungan bagi tahun ini sebanyak RM3.9 juta dengan melaksanakan pelbagai usaha termasuk menambah bilangan usahawan baharu daripada 12 kepada 30 orang di seluruh negara.

“Kita juga berhasrat menambah menu makanan Malaysia seperti rojak buah-buahan tempatan dan mi bandung untuk pilihan pelanggan selepas melihat prestasi memberangsangkan di Agro Bazar, Singapura yang dibuka tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar Taklimat Peluang Perniagaan Francais KopieSatu di Bangunan FAMA Point, Bandar Baru Selayang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan FAMACO, Pauzi Yaman; Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA, Sharifah Hashim dan Pengarah Bahagian Pembangunan Francais Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Zainal Azman Abu Seman.

Taklimat tersebut bertujuan mewujudkan jaringan usahawan baharu menceburi bidang perniagaan dengan sistem sokongan daripada kerajaan dan institusi kewangan.

Mengulas lanjut Badruddin berkata, FAMA juga akan menawarkan empat pakej baharu terdiri daripada kaunter, kiosk, kafe dan kenderaan bagi memenuhi keperluan serta kemampuan berbeza para pelanggan.

Katanya, pakej baharu itu juga merupakan usaha FAMA menarik generasi Y untuk terlibat dalam bidang keusahawanan tetapi memiliki modal perniagaan yang terhad kerana pakej pelaburan bermula daripada RM75,000 hingga RM320,000.

Sumber: Utusan Online