FAMA buka outlet KopieSatu di Jakarta


FAMA buka outlet KopieSatu di Jakarta
Sharifah Hashim

JAKARTA 26 Okt. – FAMA akan mengkaji kemungkinan membuka sebuah outlet KopieSatu, iaitu jenama kopi tempatan, di Jakarta dalam usaha meneroka lebih banyak pasaran antarabangsa melalui konsep francais.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Sharifah Hashim berkata, jika ini menjadi kenyataan, ia merupakan outlet kedua jenama kopi tempatan keluaran anak syarikatnya, FAMA Corporation Sdn. Bhd. (Famaco) di luar negara selepas diwujudkan di Agro Bazar Singapura pada tahun lalu.

“Mungkin kalau ada rakan dagang yang berpotensi, outlet KopieSatu akan diwujudkan di Jakarta. Ada kemungkinan akan dibuka di sini. Kita baru nak buat promosi. KopieSatu diperbuat daripada kopi bermutu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Contact Morning yang dihoskan oleh isteri Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Rusnah Ismail, di sini hari ini.

KopieSatu merupakan jenama tempatan yang dibangunkan lebih dari 13 tahun di bawah pengurusan anak syarikat FAMA, Famaco.

Sehingga kini terdapat 12 outlet di seluruh negara, selain melebarkan sayap perniagaannya ke luar negara dengan membukanya di Agro Bazar Singapura pada tahun lalu.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 80 ahli ASEAN Women Circle yang terdiri daripada isteri diplomat dan pegawai wanita dari negara ASEAN itu juga, FAMA mengadakan demonstrasi memasak makanan Malaysia dan memperkenalkan produk keluaran FAMA.

Sharifah juga memberi taklimat mengenai peluang perniagaan yang boleh direbut oleh usahawan tempatan dan wakil negara ASEAN melalui FAMA secara usahasama dengan usahawan Malaysia.

“FAMA sedia membantu wakil negara ASEAN yang bertugas di sini membawa balik produk kita untuk dipasarkan di negara masing-ma­sing,” katanya.

Pada masa ini Famaco bercadang untuk meneroka pasaran antarabangsa dengan melantik francaisi-francaisi induk di beberapa buah negara.

Selain itu, katanya FAMA juga sedang mencari peluang untuk membawa masuk produk lain keluaran FAMA ke sini dan mewujudkan peluang perniagaan antara francais dengan usahawan tempatan. – UTUSAN

+ There are no comments

Add yours